Satu Malaysia, satu saat sudah cukup untuk mengungkapkannya, tetapi untuk merealisasikannya perlukan sejuta pengorbanan. Satu Malaysia, bukan semata-mata satu ilusi, tetapi satu misi yang perlu diperhalusi. Mungkin impian ini penuh dengan kontroversi, menjadi topik diskusi dan tersebar sebagai subjek spekulasi yang sensasi, tetapi inilah impian yang tertinggi bagi setiap generasi. Satu Malaysia akan membawa negara ke puncak dunia dan memacu negara ke arah menjayakan Wawasan 2020.
Satu Malaysia adalah pakej pelengkap kepada segala aspirasi dan legasi kepimpinan yang terdahulu dalam proses pembinaan negara. Satu Malaysia kaya dengan agenda perdana untuk pengisian kemerdekaan yang dicapai sejak zaman Tunku Abdul Rahman, meneruskan pembangunan negara yang dirancang sejak dari pemerintahan Tun Razak, menyambung aspirasi perpaduan nasional yang dicetuskan oleh Tun Hussein Onn, menaiktarafkan proses modenisasi yang bermula dengan pesatnya di bawah kepimpinan Tun Mahathir Mohamad dan sekali gus mendaulatkan demokrasi dan kepimpinan telus sebagaimana yang telah diusahakan oleh Tun Abdullah Badawi. Kini, resolusi pembangunan rakyat dan negara Malaysia oleh kelima-lima orang negarawan ini akan diteruskan oleh Dato Seri Najib Tun Razak melalui agenda Satu Malaysia.
Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Itulah manifesto agung yang terkandung dalam agenda Satu Malaysia. Selaras dengan janji ini, agenda Satu Malaysia akan membawa manfaat yang menyeluruh kepada semua warga Malaysia dan meningkatkan lagi pecutan proses kemajuan negara. Di samping itu, kebajikan rakyat akan kekal terjamin dengan keprihatinan kerajaan yang adil dan pembangunan negara akan tetap berterusan dengan dokongan modal insan yang berkualiti. Rakyat Malaysia tidak akan diabaikan sama sekali, bahkan merekalah yang menjadi prioriti utama pihak kerajaan.
Penerapan nilai-nilai aspirasi dan pengembangan budaya inovasi akan menjana transformasi. Pemantapan demokrasi, pengurangan birokrasi dan peningkatan ambisi akan menjadi resolusi penggerak dan mencetuskan revolusi ke arah merealisasikan impian Satu Malaysia. Sikap toleransi rakyat Malaysia juga adalah teras utama untuk menjayakan agenda Satu Malaysia.
Satu Malaysia adalah satu impian dan cita-cita yang amat tinggi. Selaras dengan itu, agenda Satu Malaysia memerlukan pengamalan budaya berprestasi tinggi oleh seluruh rakyatnya. Cita-cita perlu ada kesinambungan dengan prestasi diri. Gabung jalin yang mantap antara nilai-nilai murni dan budaya berprestasi tinggi akan menjadikan Malaysia dan seluruh rakyatnya begitu gah di mata dunia. Maka di sinilah pentingnya kita semua untuk melakukan anjakan paradigma, mengubah stigma pemikiran dan melaksanakan perancangan yang telah diatur dengan rapi. Cita-cita ini juga perlu dimangkin dengan semangat nasionalisme yang tinggi dan berlandaskan tuntutan agama. Dogma pemikiran yang lama jangan dibiar kembali menjelma. Jika tidak, dogma itu akan menjadi hama dan kita akan sengsara dalam dilema. Perpaduan yang dicapai biar kekal lama. Moga-moga keadilan akan terus bersama dengan para hakim-hukama. Semoga rakyat Malaysia juga akan pemurah dengan amal dan derma.
Pada zaman millennium, kita hanya akan bercakap soal prestasi dan kualiti. Kualiti modal insan perlu diterjemahkan melalui prestasi kerjanya. Perkara inilah yang amat dititikberatkan dalam agenda Satu Malaysia. Amat penting untuk kita memastikan setiap perkara dan setiap tugas yang kita lakukan telah mencapai tahap yang terbaik. Sikap sambil lewa dan acuh tidak acuh langsung tidak boleh wujud dalam masyarakat yang berdaya maju. Tiada apa-apa yang dapat dibanggakan dengan prasarana kelas pertama, jika minda masih kelas ketiga. Pembangunan materialistik yang tidak sejajar dengan perkembangan holistik, hanya mengundang musibah kepada negara.
Meletakkan Malaysia dengan status negara maju adalah sasaran Satu Malaysia. Syarat yang paling utama untuk mewujudkan negara maju yang kukuh dan stabil hanya akan dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu. Bencana akibat perpecahan dan sikap perkauman adalah sepahit hempedu, tetapi kenikmatan yang dikecapi atas nama perpaduan adalah semanis madu. Setiap etnik ada identiti tersendiri yang melambangkan jati diri. Perbezaan yang timbul perlu disepakati bertunjangkan amalan hormat-menghormati. Mudah sahaja untuk kita bersatu dan saling membantu seandainya konsep Satu Malaysia ini sentiasa dihayati.
Satu Malaysia perlukan dokongan daripada rakyat yang tabah, bermula dari Kelantan hingga ke Sabah. Jika ada sebarang musibah, kita tidak perlu gelabah. Hanya orang yang lemah yang akan rebah. Marilah kita semua dengan semangat muhibah, kita hadapi segala musibah dan keadaan pasti akan berubah. Kejayaan Malaysia adalah ganjaran untuk kita sebagai rakyat yang tabah.
Satu Malaysia adalah satu perubahan ataupun hijrah yang penuh bersejarah, punyai arah dan masa depan yang cerah. Tetapi, harga yang perlu dibayar bukannya murah. Satu Malaysia menuntut peluh dan darah. Kita ini pejuang negara, jangan mengeluh dan pasrah selagi kudrat belum dikerah atau selagi otak belum diperah. Kita perlu berusaha dengan penuh ghairah dan kepada Tuhan kita berserah.
Biarpun idea Satu Malaysia baru sahaja dicetus, kepompong penghalang kemajuan pasti akan meletus, ikatan kejumudan minda pasti akan terputus. Tanpa was-was, kita sesekali tidak akan tewas dalam perjuangan ini. Tanpa ragu-ragu lagi, kita mesti percaya bahawa Satu Malaysia pasti akan berjaya. Kita percaya, kita pasti akan berjaya. Inilah kepercayaan yang luar biasa. Kita percaya sebelum melihat dan kita bekerja untuk melihat apa yang kita percaya. Ya, Satu Malaysia ini adalah satu sinaran cahaya yang gemilang di jagat raya. Letakkan kepercayaan kita pada agenda Satu Malaysia dan yang paling penting adalah kita sama-sama bekerja untuk menjayakannya. Buat kerja mesti bersungguh-sungguh. Walaupun lenguh, jangan sesekali bertangguh. Buat kerja juga mesti berhati-hati, teliti dan sepenuh hati. Letakkan misi untuk menjayakan Satu Malaysia dengan kejat di hati.
Kita amalkan kesantunan budaya timur sebagai ganti pengaruh negatif budaya barat. Golongan yang senang, perlu membantu golongan yang melarat. Orang yang lemah mesti didokong oleh mereka yang larat. Persengketaan harus dielakkan agar tidak membawa mudarat. Segala anasir yang jahat wajar dihapuskan sebelum melarat. Kita tentang musuh keparat. Kita kerah segala kudrat, kita guna tulang empat kerat, dengan perpaduan yang erat, kita jayakan Satu Malaysia.
Sesungguhnya, Satu Malaysia ini adalah satu realiti yang pasti. Para pemimpin telah merancang dengan teliti. Kita sebagai sebagai pejuang negara yang sejati dan juga sebagai modal insan yang berkualiti, perlu berusaha tanpa henti dan sentiasa aktif menyumbang bakti. Kejayaan yang dicapai akan sama-sama dinikmati. Malaysia tetap di hati.
Luar ataupun dalam, siang ataupun malam, cerah ataupun kelam, timbul ataupun tenggelam, Satu Malaysia akan gah ke seluruh alam.
Tuah pada sekata
Berani pada seia
Berat sama dipikul
Ringan sama dijinjing
Yang tidak ada sama-sama dicari
Yang ada sama-sama dilindungi
Yang sakit sama-sama diubati
Sama mengayun sama melangkah
Satu Malaysia kita jayakan.
Ahmad Suhaimi AM : Saya kagum dengan ketokohan saudara Hairul Faizal. Penulisan dan gaya bahaya penulis saudara Hairul Faizal cukup padu dan menarik. Huraiannya adalah terbaik, melambangkan kematangan dan pemahamannya yang jelas berhubung idea gagasan Satu Malaysia. Memang tepat pemilihannya ditempat pertama dalam Essay Competition baru-baru ini.
Seakan satu kombinasi genre essei berpantun yang seakan-akan baru diwujudkan, sungguh bermaklumat dengan pengunaan definisi bahasa yang amat baik. Namun penggunaan kombinasi genre sehinnga hujung karangan mungkin akan mengundang kebosanan pembaca, namun tidaklah begitu kritikal.
Kewujudan penulis seperti beliau amat bererti dalam menyebarkan idea Satu Malaysia,Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
No comments:
Post a Comment
Komen yang baik disini