Tautan Fikiran Suhaimi

.

Followers

Sunday, December 27, 2009

Satu Malaysia : Hairul Faizal Adli Bin Ab Ghani

 
Satu Malaysia, satu gagasan yang penuh berwawasan, ilham Dato Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Ilham ini adalah terjemahan daripada impian dan harapan seluruh rakyat Malaysia yang menggunung, mahu melihat negara kita menjadi peneraju utama ketamadunan dunia dan pelopor kemajuan sejagat.

Satu Malaysia, satu saat sudah cukup untuk mengungkapkannya, tetapi untuk merealisasikannya perlukan sejuta pengorbanan. Satu Malaysia, bukan semata-mata satu ilusi, tetapi satu misi yang perlu diperhalusi. Mungkin impian ini penuh dengan kontroversi, menjadi topik diskusi dan tersebar sebagai subjek spekulasi yang sensasi, tetapi inilah impian yang tertinggi bagi setiap generasi. Satu Malaysia akan membawa negara ke puncak dunia dan memacu negara ke arah menjayakan Wawasan 2020.

Satu Malaysia adalah pakej pelengkap kepada segala aspirasi dan legasi kepimpinan yang terdahulu dalam proses pembinaan negara. Satu Malaysia kaya dengan agenda perdana untuk pengisian kemerdekaan yang dicapai sejak zaman Tunku Abdul Rahman, meneruskan pembangunan negara yang dirancang sejak dari pemerintahan Tun Razak, menyambung aspirasi perpaduan nasional yang dicetuskan oleh Tun Hussein Onn, menaiktarafkan proses modenisasi yang bermula dengan pesatnya di bawah kepimpinan Tun Mahathir Mohamad dan sekali gus mendaulatkan demokrasi dan kepimpinan telus sebagaimana yang telah diusahakan oleh Tun Abdullah Badawi. Kini, resolusi pembangunan rakyat dan negara Malaysia oleh kelima-lima orang negarawan ini akan diteruskan oleh Dato Seri Najib Tun Razak melalui agenda Satu Malaysia.

Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Itulah manifesto agung yang terkandung dalam agenda Satu Malaysia. Selaras dengan janji ini, agenda Satu Malaysia akan membawa manfaat yang menyeluruh kepada semua warga Malaysia dan meningkatkan lagi pecutan proses kemajuan negara. Di samping itu, kebajikan rakyat akan kekal terjamin dengan keprihatinan kerajaan yang adil dan pembangunan negara akan tetap berterusan dengan dokongan modal insan yang berkualiti. Rakyat Malaysia tidak akan diabaikan sama sekali, bahkan merekalah yang menjadi prioriti utama pihak kerajaan.

Penerapan nilai-nilai aspirasi dan pengembangan budaya inovasi akan menjana transformasi. Pemantapan demokrasi, pengurangan birokrasi dan peningkatan ambisi akan menjadi resolusi penggerak dan mencetuskan revolusi ke arah merealisasikan impian Satu Malaysia. Sikap toleransi rakyat Malaysia juga adalah teras utama untuk menjayakan agenda Satu Malaysia.

Satu Malaysia adalah satu impian dan cita-cita yang amat tinggi. Selaras dengan itu, agenda Satu Malaysia memerlukan pengamalan budaya berprestasi tinggi oleh seluruh rakyatnya. Cita-cita perlu ada kesinambungan dengan prestasi diri. Gabung jalin yang mantap antara nilai-nilai murni dan budaya berprestasi tinggi akan menjadikan Malaysia dan seluruh rakyatnya begitu gah di mata dunia. Maka di sinilah pentingnya kita semua untuk melakukan anjakan paradigma, mengubah stigma pemikiran dan melaksanakan perancangan yang telah diatur dengan rapi. Cita-cita ini juga perlu dimangkin dengan semangat nasionalisme yang tinggi dan berlandaskan tuntutan agama. Dogma pemikiran yang lama jangan dibiar kembali menjelma. Jika tidak, dogma itu akan menjadi hama dan kita akan sengsara dalam dilema. Perpaduan yang dicapai biar kekal lama. Moga-moga keadilan akan terus bersama dengan para hakim-hukama. Semoga rakyat Malaysia juga akan pemurah dengan amal dan derma.

Pada zaman millennium, kita hanya akan bercakap soal prestasi dan kualiti. Kualiti modal insan perlu diterjemahkan melalui prestasi kerjanya. Perkara inilah yang amat dititikberatkan dalam agenda Satu Malaysia. Amat penting untuk kita memastikan setiap perkara dan setiap tugas yang kita lakukan telah mencapai tahap yang terbaik. Sikap sambil lewa dan acuh tidak acuh langsung tidak boleh wujud dalam masyarakat yang berdaya maju. Tiada apa-apa yang dapat dibanggakan dengan prasarana kelas pertama, jika minda masih kelas ketiga. Pembangunan materialistik yang tidak sejajar dengan perkembangan holistik, hanya mengundang musibah kepada negara.

Meletakkan Malaysia dengan status negara maju adalah sasaran Satu Malaysia. Syarat yang paling utama untuk mewujudkan negara maju yang kukuh dan stabil hanya akan dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu. Bencana akibat perpecahan dan sikap perkauman adalah sepahit hempedu, tetapi kenikmatan yang dikecapi atas nama perpaduan adalah semanis madu. Setiap etnik ada identiti tersendiri yang melambangkan jati diri. Perbezaan yang timbul perlu disepakati bertunjangkan amalan hormat-menghormati. Mudah sahaja untuk kita bersatu dan saling membantu seandainya konsep Satu Malaysia ini sentiasa dihayati.

Satu Malaysia perlukan dokongan daripada rakyat yang tabah, bermula dari Kelantan hingga ke Sabah. Jika ada sebarang musibah, kita tidak perlu gelabah. Hanya orang yang lemah yang akan rebah. Marilah kita semua dengan semangat muhibah, kita hadapi segala musibah dan keadaan pasti akan berubah. Kejayaan Malaysia adalah ganjaran untuk kita sebagai rakyat yang tabah.

Satu Malaysia adalah satu perubahan ataupun hijrah yang penuh bersejarah, punyai arah dan masa depan yang cerah. Tetapi, harga yang perlu dibayar bukannya murah. Satu Malaysia menuntut peluh dan darah. Kita ini pejuang negara, jangan mengeluh dan pasrah selagi kudrat belum dikerah atau selagi otak belum diperah. Kita perlu berusaha dengan penuh ghairah dan kepada Tuhan kita berserah.

Biarpun idea Satu Malaysia baru sahaja dicetus, kepompong penghalang kemajuan pasti akan meletus, ikatan kejumudan minda pasti akan terputus. Tanpa was-was, kita sesekali tidak akan tewas dalam perjuangan ini. Tanpa ragu-ragu lagi, kita mesti percaya bahawa Satu Malaysia pasti akan berjaya. Kita percaya, kita pasti akan berjaya. Inilah kepercayaan yang luar biasa. Kita percaya sebelum melihat dan kita bekerja untuk melihat apa yang kita percaya. Ya, Satu Malaysia ini adalah satu sinaran cahaya yang gemilang di jagat raya. Letakkan kepercayaan kita pada agenda Satu Malaysia dan yang paling penting adalah kita sama-sama bekerja untuk menjayakannya. Buat kerja mesti bersungguh-sungguh. Walaupun lenguh, jangan sesekali bertangguh. Buat kerja juga mesti berhati-hati, teliti dan sepenuh hati. Letakkan misi untuk menjayakan Satu Malaysia dengan kejat di hati.

Kita amalkan kesantunan budaya timur sebagai ganti pengaruh negatif budaya barat. Golongan yang senang, perlu membantu golongan yang melarat. Orang yang lemah mesti didokong oleh mereka yang larat. Persengketaan harus dielakkan agar tidak membawa mudarat. Segala anasir yang jahat wajar dihapuskan sebelum melarat. Kita tentang musuh keparat. Kita kerah segala kudrat, kita guna tulang empat kerat, dengan perpaduan yang erat, kita jayakan Satu Malaysia.

Sesungguhnya, Satu Malaysia ini adalah satu realiti yang pasti. Para pemimpin telah merancang dengan teliti. Kita sebagai sebagai pejuang negara yang sejati dan juga sebagai modal insan yang berkualiti, perlu berusaha tanpa henti dan sentiasa aktif menyumbang bakti. Kejayaan yang dicapai akan sama-sama dinikmati. Malaysia tetap di hati.

Luar ataupun dalam, siang ataupun malam, cerah ataupun kelam, timbul ataupun tenggelam, Satu Malaysia akan gah ke seluruh alam.

Tuah pada sekata
Berani pada seia
Berat sama dipikul
Ringan sama dijinjing
Yang tidak ada sama-sama dicari
Yang ada sama-sama dilindungi
Yang sakit sama-sama diubati
Sama mengayun sama melangkah
Satu Malaysia kita jayakan.

Ahmad Suhaimi AM : Saya kagum dengan ketokohan saudara Hairul Faizal. Penulisan dan gaya bahaya penulis saudara Hairul Faizal cukup padu dan menarik. Huraiannya adalah terbaik, melambangkan kematangan dan pemahamannya yang jelas berhubung idea gagasan Satu Malaysia. Memang tepat pemilihannya ditempat pertama dalam Essay Competition baru-baru ini. 
Seakan satu kombinasi genre essei berpantun yang seakan-akan baru diwujudkan, sungguh bermaklumat dengan pengunaan definisi bahasa yang amat baik. Namun penggunaan kombinasi genre sehinnga hujung karangan mungkin akan mengundang kebosanan pembaca, namun tidaklah begitu kritikal.

Kewujudan penulis seperti beliau amat bererti dalam menyebarkan idea Satu Malaysia,Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kenapa kita selalu takut untuk bersuara?

Saya pernah atau tidak selalu berdepan dengan situasi sebegini, situasi dimana kita sendiri,atau orang lain amat berat mulut untuk bersuara. Situasinya adalah lebih kritikal jika kita berkeadaan seakan-akan faham walaupun hakikatnya kita tidak memahami.

Adakah kita malu atau benar-benar faham? Atau juga kita takut dianggap bodoh atau "tak Cream" maka kita tidak mahu bersuara. Saya ingin menegur dikalangan kita disamping menegur diri sendiri tentang perkara ini. Didalam kuliah misalnya, kebanyakan kita hanya mendengar dan mengangguk, tapi fahamkah kita tanpa bertanya?

Bertanya adalah penting dalam hidup.Ini memudahkan orang memahami kehendak dan maksud kita. Seperti pepatah "Malu bertanya sesat jalan". Apresiasi umum yang menjurus kepada pertanyaan juga terkandung dalam pantun 4 kerat:

Buah Cempedak diluar Pagar
Ambil Galah tolong jolokkan
Saya Budak baru belajar
Kalau Salah tolong tunjukkan

Bagaimana pula apabila kita ditanya? Kita juga perlu menjawab. Jawablah apa-apa, kalau lupa, cakaplah bahawa kita lupa, sama juga jika kita tahu, jangan kedekut untuk kita berkongsi jawapan tersebut. Harta semakin diguna semakin habis, namun ilmu semakin diguna semakin banyak dan melimpah-ruah..

Saya teringat beberapa hari lepas, kelas kami ditanya tentang faktor yang mempengaruhi kekuatan tanah. Saya dibelakang, bukan saya tak mahu jawab, tapi terlupa term yang diguna dalam Englishnya. Maka diamlah saya. Saya tahu ada antara kita yang tahu tapi berat mulut untuk berkata sehingga ditegur oleh Pensyarah, malang pula rasanya apabila yang menjawabnya adalah Murad,pelajar luar negara.Dia yang banyak bersuara, jadi "back-up" kepada pelajar lain.

Selalunya saya menegur diri saya sendiri, adakah ini standard atau tahap diri saya, jika ya, maka malangnya saya. Dan saya ingin lontarkan persoalan ini pada rakan-rakan lain, supaya selepas ini kita menjadi seorang yang berani untuk bertanya dan bersuara.
Apapun saya percaya kita mampu mengubah diri menjadi lebih baik berbanding situasi beberapa hari yang lepas.Wassalam.

Ahmad Suhaimi AM
20 Desember 2009

Saturday, December 26, 2009

Adakah politik kampus dicemari politik luar?

Politik semasa hari ini tidak memungkinkan negara kita mampu berada dilandasan pembangunan yang kukuh, baik dari segi ekonomi ataupun perkembangan sosial yang baik. Sejak dari tahun 2008, suasana politik negara berubah dengan amat ketara. Saya melihat pelbagai perkara yang tidak patut berlaku, kini menjadi santapan pemikiran kita, didada akhbar atau pun di medan maya. Rakyat umumnya, dan mahasiswa khususnya seakan-akan tersepit dicelah pertembungan pemikiran politik sehingga keliru dalam mencongak halatuju dan keadaan negara dimasa hadapan.

Bukan tujuan saya menyentak pegangan politik mana-mana individu, sebaliknya saya sebagai mahasiswa cuba mengajak rakan-rakan seperjuangan berfikir mengenai nasib golongan siswa seperti kita dalam negara Malaysia khususnya pelajar UTM.

Tidak dinafikan dalam mana-mana universiti sekalipun telah diwujudkan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) yang dulunya kita kenali sebagai MPP, diharapkan menjadi wadah dalam perjuangan menuntut kebajikan para mahasiswa. Mahasiswa dikehendaki menjadi wakil secara sukarela atau pilihan, atau mungkin juga secara paksaan. Siswa-siswi juga mesti mengundi calon-calon yang terpilih dari kalangan terbaik dari segi kepimpinan.Ini demi memastikan mahasiswa didedah dengan politik, agar apabila keluar nanti, mahasiswa tidak akan terkejut dengan politik di luar.Itu yang tersurat dalam politik kampus.

Namun saya ingin sekali menegur sikap kepimpinan mahasiswa yang kehilangan arah sebagai wakil mahasiswa. Teguran ini dituju kepada semua barisan kepimpinan termasuklah kepada pihak Evo-M dan Pro-M. Seingat saya, saudara Abdul Hadi,presiden MPM UTM pernah menghantar surat kepada Harakahdaily(akhbar PAS), mengenai betapa bangganyanya beliau dengan politik di UTM. Objektifnya supaya badan politik luar meniru cara berpolitik di kampus yang bagi saya sesuatu yang mustahil. Mungkin kerana dia sudah bosan dengan keadaan semasa disebabkan oleh politik luar yang melingkari serta mengganggu-gugat isntitusi mahasiswa UTM sendiri,saya amat memahaminya. Namun tidakkah dia mengerti tindakan tersebut lebih mendedahkan mahasiswa dengan politik luar?Cukuplah anda menjaga mahasiswa yang ada, buatlah program yang berfaedah, memberi manfaat kepada pelajar dari segi akademik dan sahsiah diri dari melibatkan kepimpinan dan mahasiwa dalam kancah politik luar yang cukup-cukup merosakkan. Anda sendiri dilihat menjadi Evo-M yang "berkuasa".Gunakan peluang tersebut.

Apabila saya bertanya kepada wakil MPM sendiri dari Pro-M, mereka mengakui bahawa kepimpinan sekarang bukanlah yang sepatutnya berdiri sebagai presiden dan majlis tertinggi disebabkan kualiti mereka mentadbir dan mengurus kebajikan mahasiswa yang dikatakan "lembab".Kenapa? Program tidak bekualiti,terlampau sosial, Kurang pentarbiahan kepada mahasiswa, Merosak akhlak(konsert,battle of the band,dan sebagainya).

Dalam masa sama saya cuba bertanya apakah tugas golongan "Pro-M" dalam organisasi MPM sendiri, dan melucukan beliau menjawab bahawa "Pro-M" bertindak sebagai "pembangkang(opposition)"i
aitu melakukan "Check and Balance". Hendak saja saya menegur beliau bahawa "Anda juga gagal". Kenapa saya berkata demikian?Adakah mereka(Pro-M) melakukan tugas mereka ?bertindak menjadi "balancer" kepada MPM sendiri?Yang menyebabkan mereka berkata demikian terhadap Evo-M(Presiden dan MT)?Nampaknya kedua-dua pihak ini(Evo-M dan Pro-M) tidak melakukan tugas mereka.Perkara ini lah saya ingin samakan(dicemari) dengan politik luar iaitu "bercakap tak serupa bikin".

Saya juga ingin menegur perkara berkaitan surat berantai, memohon mahasiswa untuk menyokong usul pindaan dan mewujudkan peraturan baru melibatkan kempen bakal calon MPM, penggunaan logo, dan keterlibatan Pengetua kolej dalam kempen yang mungkin dijadikan memorandum kepada Pentadbiran UTM. Bukan saya melarang, tetapi tidak pula saya menyuruh perkara seperti ini,tapi bagi saya ini adalah proses "indoktrinisasi senyap" , malah saya menganggap golongan yang menganjurkan ini terlalu takut untuk berdepan dengan mahasiswa sendiri, sehingga diwujudkan surat seperti ini. Hampir saja saya melabelkan mereka sebagai "kiasu".Sekurang-kurangnya tulislah Organisasi mana yang menganjurkannya, dapatlah mahasiswa kita kenali dan membuat pilihan.Sebab itu saya mengambil keputusan untuk tidak mencatat apa-apa walaupun sebaris nama.Pendirian saya ringkas, kalau ianya(memorandum) diguna untuk tujuan lain, siapa yang perlu kita cari?Fikirlah sendiri.

Mungkin ada antara rakan sekalian(penyokong Evo-M hatta Pro-M sendiri),tidak bersetuju dengan pandangan saya. Itu terserah kepada anda, dan saya sebagai salah seorang mahasiswa dan bekas pemimpin pelajar, berharap teguran ini dapat difikir bersama-sama. Saya akan menolak untuk berdebat bukan kerana takut untuk berdebat, tetapi kerana saya tidak mahu wujud jurang antara kita semata-mata saya menegur berkaitan dengan kepimpinan Mahasiswa di UTM ini.Hasrat saya adalah untuk mengajak kita semua(mahasiswa) berfikir atas landasan kita sebagai mahasiswa, dengan tidak mengabaikan penggunaan kritikan yang perlu bagi membentuk jati diri yang terbaik.

Oleh-Ahmad Suhaimi A.M
23 Disember 2009

Menyanggahi Pro-M,adakah saya dilabel Evo-M?

Pro-Mahasiswa(PRO-M) UTM, golongan yang dilihat "opposition" dari kaca mata pihak Evo-M(Evolusi Mahasiswa) UTM dilihat lebih bersungguh-sungguh menjalan kempen. Ini dibuktikan persiapan lebih awal mereka cuba menarik perhatian Mahasiswa UTM,melalui penyebaran flyers di bilik-bilik kuliah seluruh fakulti. Saya memuji tindakan pantas mereka men"indoktrinisasi"kan mahasiswa UTM.

Namun, golongan seperti Pro-M juga punyai kesilapan yang amat parah dari segi penyampaian maklumat yang tepat kepada mahasiswa. Dari pertama kali membaca flyers tersebut saya sudah mengagak apa yang akan berlaku selepas ini.

Secara fakta jika dilihat secara kolektif,flyers tersebut tidak menggambarkan "kejujuran" sebenar mereka. Mereka mengaku bahawasanya mereka adalah kelompok yang membawa dan memperjuangkan suara mahasiswa yang asli dan bebas. Keutamaan yang saya ingin sebutkan ialah "asli dan bebas".Kononnya.

Mereka juga menyatakan bahawa kelompok seperti mereka tidak menyebelahi mana-mana pihak samada dari kerajaan, pembangkang,atau pihak pentadbiran universiti.Ini suatu perkara yang cuba dilindung oleh pihak Pro-M dari dihidu oleh mahasiswa. Gaya bahasa mereka seakan menggambarkan mereka ini "golongan neutral",tapi secara zahirnya mereka tidak seperti yang digambarkan.

Sebenarnya mereka adalah generasi yang membawa dan menyebarkan idea politik luar. Bukalah google dan taip sahaja "Pro Mahasiswa UTM" atau sekadar "Pro Mahasiswa",buka blog mereka dan lihat dan nisbahkan sendiri berapa banyak link yang disambung kepada blog pembangkang secara lansung atau tidak lansung. Bukan saya ingin pertikaikan ideologi politik mereka, namun saya cuba serlahkan apa yang terkandung dalam flyers tersebut tidak menggambarkan diri mereka yang sebenar. Adakah mereka jujur dengan tindakan mereka?

Semakin lama saya melihat kempen golongan Pro-M, semakin terserlah sifat "kiasu" mereka. Mereka seakan takut untuk menonjolkan diri mereka yang sebenar dan berselindung disebalik beberapa baris kenyataan palsu. Kenapa takut sehingga tahap itu? Adakah mereka takut "kalah" lagi pada pilihanraya kampus jika mahasiswa mengetahui "ideologi mereka". Adakalanya saya rasa selayaknya mereka memegang gelaran "ultrakiasu". Secara umumnya, lebih baik kiranya mereka terangkan kecenderungan politik mereka berbanding perselindungan seperti ini.

Saya juga tertarik berbicara soal program-program yang didakwa telah dijalankan oleh Pro-M. Sebanyak 21 program yang telah di"list"kan sehingga hampir penuh kertas flyers. Tapi melalui maklumat yang saya terima ada pihak-pihak yang kecewa dengan tindakan pihak Pro-M me"list"kan Program MPP sebagai Program Pro-M. Banyak senarai program merupakan Program MPP automatik di"hakmilik"kan oleh mereka. Apakah ini?Adakah ini taktik penipuan atau taktik mengkaburkan mahasiswa?Sengaja menggambarkan merekalah "juara" membuat kerja?

Cubalah hormati hak orang lain yang berpenat-lelah dan bersusah payah dalam menjalankan program, tiba-tiba title "penganjur" dikebas? Kalau kita sendiri pasti amat berasa sakit hati. Apatah lagi jika ia melibatkan komitmen banyak pihak diluar sana? Adakah ianya sengaja dilakukan untuk mengundang konflik dibelakang hari?
Inilah konotasi "asli dan bebas" yang dilaungkan oleh Pro-M boleh kita ungkapkan.

Adakah saya dilabel sebagai Evo-M dengan melakukan kritikan begini? Sudah tentu tidak. Sesungguhnya niat saya untuk menyedarkan organisasi, dan mahasiswa yang terlena dan masih dibuai mimpi, supaya tidak menelan sesuatu secara bulat-bulat tanpa melakukan penelitian dan konklusi seterusnya memilih samada untuk berpihak atau menjadi "independent". Semuanya pilihan adakah didasarkan kepada pemikiran yang jelas dan tidak terburu-buru.

Kepada rakan-rakan yang terlibat dalam "indoktrinisasi" ini, saya bukanlah bertindak untuk memalukan anda, namun turut sama-sama mengajak agar membuat pilihan terbaik sebelum berpihak pada mana-mana "side". Mungkin teguran ini boleh diambil pengajaran agar tidak membuat kesilapan dimasa akan datang.

Sesungguhnya, dalam keghairahan berkempen untuk menyuburkan politik kampus, harus disuburkan bersama pemikiran mahasiswa, janganlah lupa pada etika(ethics) berkempen agar kepentingan organisasi tidak melampaui kepentingan menyampaikan kebenaran.

Ahmad Suhaimi AM
24 Disember 2009

Friday, December 25, 2009

Blog Baru aku buka

Salam to all..

Ini blog baru yang aku buat..bukan tak biasa berbloging sana sini, tetapi ini medan peribadi..
jadi aku kena uruskan secara peribadi, apa-apa posting sudah tentu bersifat peribadi.

Aku menyahut seruan Perdana Menteri agar blogger mengikut etika berblog yang betul.
Maka dengan ini aku mengishtiharkan aku seorang blogger beretika. Harap-haraplah.

Maka dengan tertubuhnya blog "Tautan Fikiran Suhaimi", maka terlerai segala masalah mendapatkan follower dalam disamping mewujudkan jaringan sosial dengan rakan-rakan dimedan maya.

Syukran...Terima kasih...xie..xie....Thank you

Pelawat

free counters

Berbisnes

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails